General
Lapangan Terbang Melbourne bakal terima hab peruncitan mewah

Lapangan Terbang Melbourne bakal meluaskan sayap peruncitannya lewat tahun ini dengan penambahan beberapa jenama mewah antarabangsa, yang disahkan bakal dibuka di dalam Terminal 2 lapangan terbang Australia berkenaan.
Terletak bersebelahan dengan kedai bebas cukai sedia ada di lapangan terbang itu, kedai barang kemas Tiffany & Co, serta jenama fesyen Burberry, Salvatore Ferragamo, Max Mara dan Emporio Armani semuanya dijadualkan membuka kedai lewat tahun ini, sebagai sebahagian daripada presint fesyen mewah baharu lapangan terbang tersebut.
Menurut ketua peruncitan lapangan terbang itu, Andrew Gardiner, peningkatan taraf ini diharapkan dapat meningkatkan pengalaman pengembara, sekali gus membina sebuah lapangan terbang yang boleh dibanggakan oleh Melbourne.
“Presint mewah ini benar-benar membawa Lapangan Terbang Melbourne ke tahap seterusnya, dengan 11 daripada jenama paling berprestij di dunia bersedia untuk meningkatkan pengalaman penumpang antarabangsa kami,” kata Andrew Gardiner, ketua peruncitan di Lapangan Terbang Melbourne.
“Kami amat teruja untuk membawa jenama-jenama ini ke Lapangan Terbang Melbourne. Penumpang domestik dan antarabangsa kami telah memberitahu kami tentang kedai yang ingin mereka lihat, dan kami memenuhinya dengan jenama mewah yang kami tahu disukai oleh pengembara kami.”
Peruncit ternama lain termasuk kedai khusus jam tangan rasmi Australia, Watches of Switzerland, turut dijadualkan dibuka, menyertai Bally, Michael Kors, Hugo Boss, Furla dan Tumi.
Kesemua kedai ini dijadualkan dibuka pada masa yang berbeza antara akhir Julai dan akhir November 2017.