Gaya Hidup
Pusat Xiqu akhirnya dibuka di Hong Kong

Tempat seni persembahan baharu di Hong Kong yang dikhaskan untuk Xiqu (Opera Cina), kini telah dibuka. Terletak di pinggir timur Daerah Kebudayaan West Kowloon, di persimpangan Canton Road dan Austin Road, Pusat Xiqu boleh diakses secara langsung dari Stesen Hong Kong West Kowloon dan stesen MTR Austin, serta mudah dicapai menerusi pengangkutan awam dari seluruh pelusuk Hong Kong.
Reka bentuk bangunan yang tersohor ini, hasil ciptaan Revery Architecture (dahulunya Bing Thom Architects) dan Ronald Lu & Partners, diilhamkan daripada tanglung tradisional Cina serta menggabungkan elemen tradisional dan kontemporari bagi mencerminkan sifat seni tersebut yang sentiasa berkembang.
Melangkah melalui pintu masuk utama yang direka menyerupai langsir pentas yang tersingkap, pengunjung dibawa terus ke atrium yang ceria dengan podium bertingkat dan ruang untuk mempersembahkan kebudayaan teater tradisional Cina yang kaya dan purba.
Bangunan lapan tingkat ini mempunyai keluasan keseluruhan 28,164 meter persegi dan menempatkan Grand Theatre yang mempunyai 1,073 tempat duduk, Tea House Theatre dengan kapasiti sehingga 200 tempat duduk, lapan studio profesional serta dewan seminar, yang kesemuanya direka khas untuk pelbagai jenis acara dan aktiviti berkaitan xiqu.
Perincian reka bentuk setiap kemudahan turut dihasilkan mengikut keperluan praktikal dan ciri estetik seni persembahan tersebut. Ciri unik tempat ini ialah kedudukan Grand Theatre di bahagian paling atas bangunan, sekali gus membolehkan pembinaan atrium terbuka yang luas di bahagian bawah untuk ruang pameran, gerai, serta demonstrasi dan bengkel xiqu.
Carrie Lam Cheng Yuet-ngo, Ketua Eksekutif Hong Kong, telah menyampaikan ucapan semasa majlis pembukaan Pusat Xiqu. “Pelancaran Pusat Xiqu bukan sahaja satu acara kebudayaan antarabangsa yang amat penting, malah Hong Kong turut menganggapnya sebagai satu penghormatan besar dan kita semua amat berbangga dengannya.”
Malah, opera Cina telah disenaraikan dalam Senarai Warisan Budaya Tak Ketara UNESCO selama sedekad, dan Carrie Lam berharap Pusat Xiqu dapat membantu mempromosikan Hong Kong sebagai pusat seni antarabangsa serta memantapkan kedudukan bandar raya itu dalam pembangunan opera Kantonis.