Automotif
Toyota Fortuner Diesel Dilancarkan Di India

Toyota telah melancarkan versi terbaharu SUV paling larisnya di India. Rangkaian Toyota Fortuner kini bermula daripada ₹ 27.83 lakh untuk varian asas 4×2 diesel dan mencecah sehingga ₹ 33.60 lakh untuk varian automatik 4×4 diesel teratas, dengan semua harga merupakan harga bilik pameran di India. Toyota hanya mengemas kini varian diesel Fortuner manakala varian Petrol 2.7 kekal tidak berubah. Walau bagaimanapun, kemas kini pada Fortuner 2019 adalah terhad kepada bahagian dalaman dan ia kekal identikal dengan model terdahulu dari segi rupa serta mekanikal.
Toyota Fortuner 2019 kini dilengkapi kemasan dalaman fabrik samak (chamois) yang dijadikan standard pada varian diesel. Tempat duduk kini dibalut kulit berlubang dan mempunyai lambang ‘Fortuner’ yang ditatah padanya. Cermin pada Toyota Fortuner baharu ini mampu menepis haba dengan lebih baik, memberikan kelebihan di beberapa pasaran tempatan, terutamanya di kawasan utara, barat-utara dan timur negara itu di mana suhunya menjadi agak melampau.
Dari segi mekanikal, Toyota Fortuner Diesel 2019 kekal serupa dengan model terdahulu. Ia dikuasakan oleh enjin diesel 2.8 liter empat silinder yang menghasilkan 175 bhp pada 3,400 rpm dan tork puncak 420 Nm pada 1,400 – 2,600 rpm apabila enjin digandingkan dengan transmisi manual. Enjin yang sama dilaras untuk menghasilkan tork puncak 30 Nm lebih tinggi iaitu pada 450 Nm antara 1,600 rpm hingga 2,400 rpm apabila digandingkan dengan transmisi automatik. Toyota Fortuner turut mendominasi segmen ini dengan menguasai 70 peratus syer pasaran.