Gaya Hidup
SES laksana program e-kesihatan satelit di Filipina

Pengendali satelit SES, Kementerian Hal Ehwal Luar dan Eropah Luxembourg, serta organisasi bukan kerajaan (NGO) German Doctors telah melancarkan platform e-kesihatan berasaskan satelit, SATMED, di Filipina.
Penyelesaian tersebut telah dilaksanakan di hospital German Doctors di Buda, Daerah Marilog di Bandar Raya Davao.
SATMED mampu meningkatkan kesihatan awam di negara-negara membangun dengan mengintegrasikan aplikasi dan alatan perubatan pada satu platform tunggal menerusi perkhidmatan jalur lebar satelit. Penyelesaian ini dibangunkan oleh SES Techcom Services, anak syarikat milik penuh SES, dan dibiayai oleh kerajaan Luxembourg.
Penyelesaian baharu SATMED yang dilaksanakan di Central Mindanao akan membolehkan German Doctors menggunakan peranti mudah alih seperti tablet untuk mengumpul data pesakit, yang kemudiannya akan diproses, dihimpunkan dan diselaraskan secara selamat di platform awan SATMED.
Fungsi pesanan teks akan membolehkan doktor memantau kumpulan pesakit yang ramai di kampung-kampung terpencil, di mana bentuk perhubungan utama mereka dengan dunia luar adalah menerusi telefon bimbit.
SATMED juga akan membolehkan German Doctors berkomunikasi dengan doktor dan pakar perubatan di seluruh dunia melalui persidangan video. Latihan untuk profesional perubatan tempatan menerusi penyelesaian e-pembelajaran SATMED turut menjadi satu lagi peluang yang ditawarkan.
“Pelaksanaan SATMED, menerusi ketersambungan satelit, menyediakan pencitraan digital, e-pembelajaran dan konsultasi, serta penyelesaian e-kesihatan lain kepada komuniti perubatan tempatan,” kata Glen Tindall, Naib Presiden Jualan Asia-Pasifik di SES.
Dietmar Schug, Pengarah Urusan German Doctors, berkata bahawa ketersambungan terestrial yang lemah di kawasan luar bandar menimbulkan halangan dalam menganalisis dan memantau masalah kesihatan pesakit, mengakses rekod perubatan mereka, serta menyediakan rawatan susulan.
“Lebih 200,000 orang tinggal di dalam kawasan liputan Pusat Penjagaan Kesihatan Komuniti Buda – dengan hampir separuh daripadanya terdiri daripada penduduk peribumi, yang sering kali tiada akses kepada penjagaan perubatan dan hidup di bawah garis kemiskinan,” katanya.
“SATMED dan rangkaian aplikasi perubatannya membuka pelbagai peluang penjagaan kesihatan serta memacu usaha kami untuk menjadikan penjagaan kesihatan yang berkualiti dan boleh diakses satu kenyataan bagi komuniti terpencil ini.”