Elektronik
Qualcomm memperkenalkan teknologi Quick Charge 3+ yang lebih pantas dan cekap untuk pasaran arus perdana

Qualcomm baru sahaja mengumumkan versi baharu teknologi pengecasan pantas untuk telefon pintar. Dikenali sebagai Qualcomm Quick Charge 3+, ia tampil lebih baik daripada teknologi Quick Charge 3, namun berada di bawah keupayaan Quick Charge 4+.
Meskipun tiada pembaharuan drastik dalam arena bateri telefon pintar, teknologi pengecasan pantas nampaknya terus berkembang pesat. Seperti yang dijangkakan, Quick Charge 3+ akan menawarkan kelajuan dan kecekapan yang lebih tinggi berbanding Quick Charge 3.0.
Menurut Qualcomm, Quick Charge 3+ mampu mengecas bateri telefon pintar daripada 0% hingga 50% dalam masa 15 minit sahaja, iaitu 35% lebih pantas berbanding generasi sebelumnya. Lebih penting lagi, teknologi baharu ini serasi secara berundur (backward compatible) dengan peranti Quick Charge terdahulu, manakala peranti baharu turut boleh digunakan bersama aksesori Quick Charge 3+.
Secara asasnya, Qualcomm membawa kelajuan dan kecekapan Quick Charge 4+ ke peranti pintar yang lebih berpatutan. Seperti yang diketahui, teknologi Quick Charge 4+ membolehkan peranti yang serasi mengecas sehingga 50% dalam masa 15 minit, sama seperti keupayaan Quick Charge 3+ baharu ini.
Teknologi Quick Charge 3+ ini akan ditawarkan terlebih dahulu pada cipset Qualcomm Snapdragon 765 dan 765G, sebelum diperluaskan ke SoC Snapdragon yang lain lewat tahun ini. Pemproses ini merupakan sebahagian daripada segmen kelas pertengahan baharu Qualcomm, manakala Quick Charge 4+ dikhususkan untuk peranti mercu yang dilengkapi cipset mewah seperti Snapdragon 845.
Bagi pengguna terawal, telefon pintar pertama di dunia yang menyokong kedua-dua teknologi pengecasan Quick Charge 4+ dan Quick Charge 3+ ialah Xiaomi Mi 10 Lite Zoom.