Automotif
Maruti, Hyundai kuasai jualan kenderaan penumpang pada Jun

Dua pengeluar kereta teratas India, Maruti Suzuki India dan Hyundai Motor India, menguasai segmen jualan kenderaan penumpang di negara itu bulan lalu apabila model-model mereka memenuhi kesemua kedudukan dalam senarai sepuluh teratas.
Ketika pemimpin pasaran kereta Maruti mempunyai tujuh model dalam senarai tersebut, saingannya Hyundai Motor India mempunyai tiga model dalam senarai sepuluh jualan teratas bulan lalu.
Innova daripada Toyota Kirloskar Motor dan Renault Kwid yang berada dalam senarai Jun 2016 telah gagal mendapat tempat dalam senarai sepuluh teratas tahun ini.
Menurut data terkini daripada Persatuan Pengilang Automobil India (SIAM), Maruti Alto mengekalkan kedudukan teratas pada Jun dengan 14,856 unit, berbanding 15,750 unit pada Jun tahun lalu.
Kereta kompak Hyundai Grand i10 berada di kedudukan kedua dengan 12,317 unit. Ia berada di kedudukan ketiga pada Jun 2016 dengan jualan sebanyak 12,678 unit.
Sedan kompak Maruti Dzire menduduki tempat ketiga dengan jualan 12,050 unit berbanding 15,560 unit pada Jun tahun lalu.
Hatchback kompak pemimpin pasaran kereta tersebut, Wagon R, berada di kedudukan keempat dengan jualan 10,668 unit sepanjang bulan lalu.
Hyundai Elite i20 menduduki tempat kelima bulan lalu dengan 10,609 unit. Syarikat itu telah menjual 8,990 unit kenderaan berkenaan pada tempoh yang sama tahun lalu.
Maruti Swift mengekalkan kedudukan keenam dengan 9,902 unit pada Jun. Ia telah menjual 9,033 unit pada bulan yang sama tahun lalu.
Hatchback premium pengeluar kereta itu, Baleno, berada di kedudukan ketujuh dengan jualan 9,057 unit bulan lalu, manakala SUV kompak Vitara Brezza dengan jualan 8,293 unit mengambil tempat kelapan pada Jun.
Hyundai Creta mengekalkan kedudukan kesembilan dengan jualan 6,436 unit pada Jun. Ia menjual 7,700 unit pada bulan yang sama tahun lalu.
Hatchback Maruti Celerio berada di tempat kesepuluh dengan jualan 6,375 unit.