Gaya Hidup
Ikea Asia pertaruhkan pasaran China dan India

Ikea Asia mempertaruhkan pembukaan cawangan secara pantas di India serta perluasan berterusan di China bagi mengekalkan pertumbuhan globalnya.
Pakar kelengkapan rumah dan perabot dari Sweden itu bakal membuka cawangan pertamanya di India pada tahun hadapan serta merancang untuk mempunyai 25 cawangan beroperasi di sana menjelang 2025.
Di China pula, di mana syarikat itu mempunyai 21 cawangan pada masa ini, ia akan mempercepatkan pembukaan cawangan daripada tiga cawangan setahun sekarang kepada empat atau lima cawangan setiap tahun.
Dalam satu temu bual bersama Bloomberg, Ketua Pegawai Eksekutif Ikea Peter Agnefjaell menyatakan bahawa kedua-dua pasaran berkenaan merupakan tonggak utama dalam rancangan untuk meningkatkan jumlah jualan kumpulan sehingga 50 peratus menjelang 2020, kepada 50 bilion euro (AS$56 bilion). Bagi tahun kewangan hingga Ogos, jualan syarikat mencatatkan 34.2 bilion euro.
“India merupakan salah satu pasaran pertumbuhan terbesar yang kami lihat bagi masa hadapan,” kata Agnefjaell kepada Bloomberg. “Namun ia sudah tentu bergantung kepada perkembangan ekonomi yang terus kukuh.”
Cawangan pertama Ikea di India kini dalam pembinaan di Hyderabad. Syarikat itu telah pun melabur untuk tapak di Mumbai dan merancang cawangan seterusnya di Bangalore dan Delhi.
Jualan kedai sama global Ikea meningkat 4.8 peratus pada tahun kewangan lepas. Jumlah jualan meningkat 7.9 peratus, tidak termasuk impak kadar pertukaran mata wang.